Photobucket

Monday, March 30, 2009

 

Shah United juara Futsal Amal

Oleh Hasrulraizan

Juara...Shah United.

Naib Juara...BIMP-EAGA '08.
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad - Kemenangan 2-0 Shah United ke atas BIMP-EAGA '08 malam ini telah menganugerahkan gelaran "Juara" Kejohanan Futsal Amal Bagi Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin Negara Brunei Darussalam 2009 kepada pasukan berkenaan.

Jaringan Abdul Rahim Ismail di minit ke-4 separuh masa kedua dan disusuli dengan jaringan sendiri pertahanan BIMP-EAGA '08 seminit kemudian telah merubah rentak perlawanan kepada lebih agresif dan pantas berbanding babak pertama yang hambar sehinggakan kedua-dua penjaga gol hanya jadi pemerhati dan pelempar bola.

Satu-satunya saat mencemaskan di babak pertama ialah sepakan penalti yang diberikan kepada Shah United setelah salah seorang pemain mereka dijatuhkan penjaga gawang BIMP-EAGA '08 di dalam petak D, namun penjaga gawang BIMP-EAGA '08 menebus kesilapannya itu dengan menangkap kemas sepakan penalti itu.

Babak kedua bermula baik bagi BIMP-EAGA '08 dengan pemain jersi 8-nya membuat percubaan kencang dari luar petak D seawal minit pertama, namun berjaya di tepis oleh penjaga gawang Shah United.

Kedua-dua pasukan kemudiannya berbalas-balas serangan dan tiba-tiba Shah United di depan apabila sepakan kencang Abdul Rahim dari luar petak D lawan menggegar sudut atas kanan gawang BIMP-EAGA '08 apabila gagal ditepis oleh penjaga gawang BIMP-EAGA '08.

Menyedari ketinggalan BIMP-EAGA '08 menggandakan asakan pantas, namun penjaga gol Shah United terhidu peluang terbuka lalu melempar bola memasuki kawasan petak D BIMP-EAGA '08 yang cuba ditanduk "Pemain Terbaik Kejohanan", Abdul Muiz Shahrizan, namun tidak kesampaian.

Sebaliknya bola berkenaan berjaya ditanduk jersi 3 BIMP-EAGA '08 ke belakang bagi rakannya di pintu gagal tanpa beliau menyedari rakannya itu turut ke depan bagi menumbuk bola berkenaan, menyebabkan bola menerjah gawang BIMP-EAGA '08 yang terbuka luas.

Shah United boleh saja menambah jaringan mereka kepada 3 di minit ke-7 babak kedua itu, namun cubaan pemain jersi 11-nya setelah permainan satu-dua yang menarik di depan pintu gol BIMP-EAGA '08 terkena palang kiri gawang.

Muncul di tempat ketiga Kejohanan Futsal Amal itu ialah Star Madang setelah pasukan berkenaan menewaskan P.nat FC dengan jaringan 2-0 di perlawanan mencari tempat ketiga sebelum perlawanan peringkat akhir berkenaan.

Menyempurnakan penyampaian hadiah kepada juara, naib juara, tempat ketiga dan "Pemain Terbaik Kejohanan ialah Pemangku Timbalan Pengarah Belia dan Sukan, Haji Mohd Zamri Haji Hamdani.

Kejohanan Futsal Amal Bagi Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin Negara Brunei Darussalam 2009 itu telah berjaya mengumpul sejumlah $4,510 melalui penyertaan 45 pasukan dalam kejohanan yang bermula pada 17 Mac lalu.


This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]

Khairul Nuzul's Facebook profile